Peta menunjukkan kemerosotan kuasa Brunei dan Sulu |
Musuh rakyat Brunei ialah penjajahan British yang beroperasi di Pejabat Tanah Jajahan di London. Betapa tidaknya, sejarah telah mempamirkan kepada kita semua akan kelicikan kerja diplomasi dan kerja pecah dan perintahnya sehingga Sarawak dan Sabah yang dimiliki Brunei menjadi tanah jajahannya dan Brunei menjadi Negeri naungannya. Sebab itulah pemimpin yang sebenar sentiasa belajar dari sejarah, dia tidak membenci sejarah walau sepahit mana sejarah itu dilaluinya.
Siapa Yang Menjual Sarawak?
Pejabat Tanah Jajahan British di Madras,
India dan Singapura telah menggunakan
James Brooke 36 tahun, seorang
pegawai tentera British yang
licik untuk menjadi seorang pelayar bagi membawa misi London ke Pulau
Kalimantan. Misi utama James Brooke ialah
pergi ke Sarawak untuk menghakis kekuasaan Brunei dan menjadikan seluruh
wilayah Sarawak sebagai tanah
jajahannya. Misi keduanya pula ialah mengembangkan Kristian.
Sultan Muhammad Khanzul Alam (1807-1829)
telah mengutus Pengiran Indera Mahkota Pengiran Mohamad Salleh ibni Pengiran
Syarmayuda untuk menjadi wakil pentadbir baginda ke Sarawak pada tahun 1827.
Apabila ada laporan tentang Pengiran Indera
Mahkhota yang kononnya tidak upaya untuk
menghadapi gangguan kongsi gelap Cina dan
gangguan lanun di perairannya, maka Sultan Brunei mengutus pula Pengiran
Muda Hassim dan adiknya Pengiran Badaruddin ke Kuching untuk memantau keadaan.
Kedatangan Pengiran Muda Hassim menyebabkan timbul perbalahan siapa lebih besar
antara mereka.
Ketika James Brooke sampai di Sarawak pada
1839, beliau mendapati sengketa antara Pengiran Muda Hassim dan Pengiran Indera
Mahkota amat meruncing, lalu berkira-kira untuk mengambil peluang dari
perbalahan kerabat itu.
James Brooke mendapati Pengiran Muda Hassim
mempunyai kelemahan yang memerlukan bantuan daripadanya. Justeru James
Brooke mengambil tindakan memihak Pengiran
Muda Hassim. Gayung bersambut kata bersahut.
James Brooke menyedari tali barutnya tidak
kukuh, lalu mengambil langkah mengadap Sultan Omar Ali Saifuddein II, di Brunei
pada bulan Julai 1842. Dengan tipu muslihatnya, dia dapat mengelirukan Sultan
dan pembesar istana betapa kononnya Pengiran Indera Mahkota sedang mengumpul kekuatan untuk menentang
Sultan.
Malangnya Sultan yang nipis telinga begitu
mudah menerima laporan James Brooke, lalu diberi kuasa untuk mewujudkan
ketenteraman di Kuching. Dengan tauliah ini Pengiran Indera Mahkota disingkirkan dan Pengiran Muda Hassim
dianugerahkan gelaran Bendahara dan adiknya Pengiran Badruddin telah menjadi
orang kuat James Brooke.
Egenda Perluasan Wilayah
Egenda perluasan wilayah Brooke ke atas Sarawak bermula dengan pengambilan wilayah Kuching dan sekitarnya. Kemudian dituruti pula dengan pengambilan Labuan pada 18 Disember 1846, seterusnya pengambilan Sungai Semarahan, Sadong, Lingga, Skrang, Krian, Saribas dan Rajang pada tahun 1853 dengan bayaran tahunan $1,500 kepada Sultan (Sultan Abdul Momin).
Pada tahun-tahun 1856–1861 pula ialah penyerahan Mukah, Bintulu, Oya dan Tatau kepada James Brooke. Pada tahun 1882, Charles Brooke pula memperolehi Sungai Baram dengan bayaran tahunan masing-masing kepada Sultan (Sultan Abdul Momin) sebanyak $3,000 dan kepada Pengiran Temenggong Anak Hashim $2,000 dan seterusnya pada 1885 Terusan dan 1890 Limbang telah diambil oleh Charles Brooke.
Amat malang, berikutan itu tiada lagi kedaulatan dan hak Sultan Brunei ke atas Sarawak. Selama 100 tahun(1841-1946) James Brooke dan keturunannya menjadi raja di Sarawak bergelar Raja Brooke terdiri dari, James Brooke (1841-1868), Charles Brooke (1868-1917) dan Charles Vyner Brooke (1917-1946). Kekuasaan wilayahnya jauh lebih besar dari wilayah tadbiran Sultan Brunei sendiri. Pada tahun 1946, seluruh wilayah Sarawak diambil alih oleh British sebagai negeri jajahannya.
Hal ini amat mengaibkan generasi penerus. Ia
meletakkan James Brooke dan penggantinya seorang rakyat jembel, sudah
semartabat dengan Sultan Brunei sendiri. Ironinya, Sultan Brunei tidak boleh
campur tangan dalam urusan pentadbiran di Sarawak, tetapi orang British dapat
mencengkam kukunya bagi mencampuri urusan dalaman Brunei.
Siapa Yang Menjual Borneo Utara (SABAH)
Yang tinggal pada Brunei selepas Sarawak
dirampas penjajah British ialah sebahagian wilayah Borneo Utara (Sabah) dan
wilayah yang sekarang dikenali dengan Brunei Darussalam. Pada hal adalah
diketahui dalam kurun ke-16 seluruh Sabah membawa ke wilayah Selatan Filipina
adalah sebahagian dari wilayah Kesultanan Brunei.
Malangnya, sebahagian dari kedaulatan Borneo
Utara telah diserahkan kepada Betara Sulu termasuk Kimanis yang luas wilayahnya,
sebagai balasan di atas bantuan Betara Sulu kepada Pengiran Bendahara Muhyiddin
dalam perang saudara yang dikenali Perang Pulau Cermin. Perang saudara
tersebut adalah antara Pengiran Bendahara Muhyiddin dengan Sultan Abdul Mubin
yang berlarutan selama 14 tahun (1660-1674).
Peperangan ini berakhir dengan Pengiran
Bendahara Muhiyiddin menang dan menjadi Sultan Brunei ke 14. Sebagai balasan
atas kemenangan itulah sebahagian
wilayah Sabah telah diserahkan kepada Betara Sulu.
Peristiwa ini telah mengakibatkan tuntutan
bertindih dan pertikaian berterusan antara mereka yang berkepentingan hingga ke
hari ini. Dalam perkiraan inilah apabila kesultanan Sulu termasuk dalam
kedaulatan Filipina, maka Filipina mendakwa sebahagian dari wilayah Sabah itu sebagai milik kedaulataan
Filipina. Tuntutan Filipina ke atas wilayah berkenaan timbul tenggelam hingga
ke hari ini yang menjadi duri dalam daging kepada Malaysia.
Kejayaan tidak menyebelahi A.M. Azahari dan
PRB apabila wilayah yang menjadi milik kesultanan Sulu di Sabah itu akan
digugurkan oleh puruk waris kesultanan Sulu dan kerajaan Filipina sebaik Negara
Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) yang diperjuangkannya sebelum pemberontakan 8 Disember meletus
berjaya diwujudkan.
Pemilikan Sabah Bertukar Tangan.
Sultan Jamalul Azam, Sultan Sulu yang
berkuasa atas sebahagian dari Sabah telah membuat perjanjian dengan saudagar
bangsawan Austria, Baron Gustavus de Overbeck dan seorang pedagang Inggeris
Alfred Dent pada 22 Jun, 1878. Perjanjian itu bersetuju memajakkan wilayah yang
dikuasai baginda kepada saudagar Eropah itu.
Sebelumnya itu mereka telah berjaya
mendapatkan konsesi pajakan dari Sultan Brunei, Sultan Abdul Momin ke atas wilayah
Sabah yang meliputi Sungai Sibuku di pantai timur dan Paitan, Sugut, Bagaya,
Labuk, Sandakan, Kinabatangan serta Teluk Darvel. Perjanjian penyerahan wilayah itu dengan Sultan Abdul
Momin dimeterai pada 29 Disember, 1877.
Melalui konsessi yang diperolehi dari Sultan
Jamalul Azam Sulu dan Sultan Abdul Momin Brunei itu telah menjadikan bangsawan
de Overbeck sebagai penguasa tertinggi di
wilayah tersebut dan dinobatkan gelaran ‘Maharaja’ Gaya dan Sandakan.
Kedua keturunan Eropah itu bukan sahaja
berminat untuk menjadikan kawasan itu sebagai pusat perdagangan mereka tetapi
telah berjaya menjadi maharaja mempunyai kekuasaan de facto dan de
juri pula. Sedih. Kalau di Sarawak Brooke menjadi raja, maka di Sabah de
Overbeck bergelar ‘Maharaja’ pula.
Bagaimana pun, tipu daya British kemudiannya
berjaya menguasai wilayah yang dikuasai oleh Baron de Overbeck dan Alfred Dent.
Menurut British, kedua saudagar itu telah menjual wilayah itu dalam tahun 1881
kepada British yang mentadbirkannya atas nama Syarikat Berkanun Borneo Utara
atau North Borneo Charted Company.
Dalam pada itu Pulau Labuan pula telah
diperolehi British pada tahun 1846 secara berasingan untuk dijadikan
pangkalannya seperti di Singapura. Dalam tahun 1946 selepas perang dunia kedua,
seluruh wilayah Sabah secara rasmi menjadi sebahagian dari tanah jajahan
Inggeris, termasuk pulau Labuan.
Demikian mudahnya British menakluki wilayah
kesultanan Brunei dan memecah-mecahkannya hingga akhirnya, wilayah yang tinggal
untuk dipusakai oleh Sultan dan rakyat Brunei hanyalah kawasan yang dikenali
sebagai Brunei Darussalam yang dalam peta sekarang ini, sedang lebih daripada
95 peratus dari wilayah kesultanan Brunei kurun ke-16 dahulu hilang dari
kedaulatan kesultanan itu termasuk Lawas, Limbang dan Terusan yang menjadi
sumber permakanan Brunei.
Brunei Masih Bernasib Baik
Alhamdulillah, Brunei masih bernasib baik.
Jika usaha Charles Brooke berjaya
untuk mengambil Tutong dan Belait
melalui campur tangan beliau di dalam satu pemberontakan rakyat jati menentang pemerasan pembesar negeri pada 1889
hingga 1905, dipimpin Datu Kallam dan Datu Digadong; dan jika Muara dan Pulau Berambang yang
konsisinya dimiliki oleh Charles Brooke tidak diserahkan semula kepada Sultan
Ahmad Tajuddin pada 31 Disember 1946 itu, maka kekuasaan Brunei sekarang
mungkin hanya tinggal sekelumit meliputi daerah Brunei (tanpa Muara) dan
Temburung sahaja yang tidak berminyak dan mungkin yang termiskin didunia.
Sejarah tentunya sepakat menggambarkan
keadaan ini sebagai satu tindakan kurang bijaksana. Hanya pengkhianat yang
menghalalkan perbuatan seorang pengkhianat yang lain.
Dari lakaran kisah malang ini, tidak heranlah
Brunei kini ditatang oleh Istana seperti menantang minyak yang penuh, ditatang
dengan amat berhati-hati supaya tidak menitik. Justeru atas rasa kebimbangan
dan cemburu yang menebal itu, tidak mungkin Istana sedia untuk berkongsi kuasa
dengan rakyat. Persoalannya, sampai bilakah agaknya amalan sistem pemerintahan
raja mutlak ini boleh bertahan?.
Wallaha'alam. (MMO).
Wallaha'alam. (MMO).
No comments:
Post a Comment