Tuesday, March 6, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (BAHAGIAN 10)


Keakraban hubungan seperti inilah yang mengundang rasa cemburu di pihak British


Penjajah Yang Gusar 

Rata-rata apa yang menjadi isu dalam kebanyakan negara terjajah pada zaman perang dingin ialah tuntutan dari golongan nasionalis dan sosialis supaya perusahaan asing di negara masing-masing dimilik negarakan.

Syarikat Minyak Shell yang berbelanja besar untuk mencari dan membangunkan perusahaan minyak itu sangat bimbang akan potensi A.M. Azahari, seorang nasionalis  yang dikhuatiri bakal bangun menuntut hak pemilikan negara terhadap  syarikat berkenaan, sedang telaga minyak Brunei tersebut adalah lubuk gergasi minyak di seluruh Negara Komanwel ketika itu.

British mempunyai kepentingan yang besar dalam industri itu. Hatta kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin di Singapura pada 3 Jun 1950 dalam perjalanan ke England bagi merundingkan kenaikan royalti minyak Brunei, mungkin ada kaitan dengan isu ini. Tiada sebarang penyiasatan dilakukan terhadap misteri kemangkatan itu. 

Wadah Perjuangan 

A.M. Azahari mempunyai karisma, dan dengan kepetahannya berhujah, di mana dia berada, tempat itu menjadi tumpuan orang bertandang. Sekembalinya ke Brunei, dia tidak segera berpolitik, tidak juga segera menubuhkan parti politik dan apa-apa pertubuhan sukarelawan, walaupun dia tidak mudah dipisahkan dengan politik.

Keutamaannya pada ketika itu ialah perusahaan filem. Bidang ini adalah lanjutan teater bangsawan yang boleh dijadikan saluran bagi menyampaikan mesej perjuangan kepada penonton seperti apa yang berlaku di Malaya dan Singapura, dan medium ini amat berkesan.

Pergaulannya dengan Abdul Razak, Maria Minado, S. Roomai Noor dan masyarakat filem di Singapura mendorong lagi minatnya untuk membuka syarikat perfileman sekaligus untuk dijadikan wadah menyalur kesedaran politik dan  mengumpul aktivis politik. 

Menubuhkan BRUFICO 

Sekembalinya ketanah air dalam tahun 1952, A.M. Azahari menubuhkan syarikat perfileman secara perkongsian yang  penjualan sahamnya terbuka kepada orang ramai yang berminat. Untuk tujuan itu, beliau mengasaskan BRUFICO – Brunei Film Productions Company.

Tentunya aneh bagi seorang yang pernah terlibat secara langsung dalam satu revolusi menentang penjajah balik semula ke negara asalnya, tiba-tiba menubuhkan syarikat filem, dan tidak segera menumpukan tenaga untuk mengusir penjajah yang ada di depan mata.

Tetapi British sebagai tuan penjajah yang berpengalaman juga mengambil sikap yang menarik dengan menyulitkan usaha  A.M. Azahari untuk mendaftarkan Brufico.

A.M. Azahari pula memang dari awal melihat akan masalah berpolitik dalam masyarakat yang belum ada pengalaman politik yang terbuka, justeru  itu menjadikan Brufico sebagai kes tinjauan. 

Pendaftaran BRUFICO Ditolak 

British menolak pendaftaran Brufico sekalipun A.M. Azahari membuat rayuan dan berunding. Pegawai British memberi alasan bahawa syarikat filem memerlukan modal yang besar. Saham yang dipungut dari orang ramai dikatakan tidak mencukupi. Ia memerlukan ramai tenaga mahir dan teknologi tinggi sedang Brunei belum mempunyai tenaga pakar yang dikehedaki.

Modal berbayar Brufico ialah BR 250,000.00 dan sahamnya habis dijual dalam masa yang singkat hingga ramai orang-orang ternama ikut menyertainya. A.M. Azahari meyakinkan bahawa segala syarat yang dijadikan alasan British itu tidak sukar dipenuhi kerana Abdul Razak dan isterinya Maria Minado berupaya memindahkan teknologi dan pelakon terkenal dari Singapura ke Brunei. 

Curiga 

Bagaimanapun Residen British percaya bahawa di sebalik industeri perfileman itu, A.M. Azahari mempunyai rancangan untuk menjadikannya satu gerakan politik. Residen British memberikan alasan bahawa permohonan untuk mendaftarkan Brufico itu ditolak oleh DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein.

Keupayaan Inggeris membabitkan nama DYMM Sultan itu diharapkannya boleh menjarakkan  A.M. Azahari dan penyokongnya dengan istana. Lebih-lebih lagi pihak penjajah British sudah mengesan bahawa kedua putera Negara, Sultan Omar Ali Saifuddein dan A.M. Azahari sudah menjalin persahabatan.

Betapa tidaknya, ada juga yang terasa bahawa Sultan telah diperalatkan oleh Penjajah British menolak pendaftaran Brufico tersebut. Namun usaha jahat penjajah ini tidak berjaya. Hubungan peribadi DYMM  Sultan dan A.M. Azahari yang sudah terjalin itu tidak terkesan langsung kerana orang ramai telah menerima hakikat bahawa yang berkuasa ke atas pentadbiran Brunei ialah Residen British bukannya Sultan. 

Protes 

Tindakan Residen British menolak permohonan pedaftaran Brufico itu menimbulkan kemarahan A.M. Azahari dan penyokongnya terutama mereka yang melabur dalam Brufico.

A.M. Azahari telah memberikan taklimat perkembangan permohonan pendaftaran BRUFICO dan kedudukan kewangannya kepada pemegang saham.

Pendapat umum ketika itu rata-rata bersetuju betapa keengganan penjajah British mendaftarkan Brufico sebagai sikap dan tindakan anti kemajuan rakyat. Di pihak yang lain, adalah dipercayai, baginda  sultan turut tersinggung betapa baginda sebagai sultan, kuasa pendaftaran sebuah syarikat perniagaan pun dipegang oleh Residen British.

Satu tindakan terakhir yang diputuskan oleh pemegang saham ialah membantah sikap Residen melalui satu protes aman. A.M. Azahari telah mengepalai satu perarakan secara aman dari Rumah Rehat di Pekan Brunei ke pejabat Residen yang jaraknya dua kilometer pada 23 Januari 1953. Perarakan itu sekadar untuk menyampaikan bantahan sambil menuntut supaya Brufico didaftarkan.

Pada mulanya penyokong A.M. Azahari diberikan kebenaran untuk mengadakan perarakan secara aman, tetapi pada saat akhir sedang orang ramai mengatur barisan untuk bergerak, tiba-tiba saja Residen Barcroft  menarik balik kebenaran tersebut dan mengarahkan orang ramai bersurai. Residen juga memerintahkan polis dari Seria dan Kuala Belait untuk bertindak menyuraikan ribuan peserta perarakan yang julung kalinya disaksikan oleh pekan Brunei.

Yang memeranjatkan Penjajah British ialah antara yang turut serta dalam perarakan itu adalah kakitangan kerajaan dan yang dikerahkan untuk  menyuraikan perhimpunan itu pula enggan bertindak menghalang mereka dari memasuki kawasan pejabat Residen. Akhirnya tunjuk perasaan aman itu bersurai setelah memorandum bantahan diserahkan di pejabat Residen.

Pegawai Daerah Brunei dan Muara Pengiran Abu Bakar bin Pengiran Omar Ali dan  Pengiran Kerma Indera, Pengiran Muhammad bin Pengiran Abdul Rahman Piut ayah saudara A.M Azahari (dari sebelah isterinya) menasihatkan mereka agar segera bersurai. 

Perhimpunan Aman 

A.M. Azahari tidak dapat menghalang kehadiran ribuan rakyat yang berkumpul itu. Namun suasana tetap ceria dan tidak ada sebarang ketegangan yang wujud. Tiada sebab untuk anggota polis tempatan yang terdiri dari orang-orang Melayu untuk mengambil sebarang tindakan. Mereka membiarkan saja keadaan yang sememangnya aman dan ceria itu.

Peserta perarakan yang bersurai itu kemudiannya menuju ke “Rumah Besar”, kediaman Sheikh Mahmud, ayah A.M. Azahari di Kampong Padang Lama kira-kira empat kilometer dari pejabat Residen untuk berehat sambil menikmati juadah dan minuman yang disediakan oleh kaum ibu.

Suasana pada masa itu bagaikan satu pesta rakyat. A.M. Azahari dan beberapa orang yang penting dalam perarakan itu pula bermesyuarat di rumah tersebut. Tidak lama kemudian A.M. Azahari didatangi oleh sepasukan polis kononnya untuk menjemput mereka ke Pejabat Residen.

A.M. Azahari dengan baik sangka memenuhi pelawaan ketua polis itu dengan harapan akan dapat meneruskan rundingan dengan Residen British. Rupa-rupanya A.M. Azahari dan jawatankuasanya tertipu. Sebaik mereka turun dilaman rumah yang penuh sesak itu pasukan polis tadi terus mengeluarkan waran tangkap lalu membawa mereka ke Balai Polis Pekan Brunei. Dalam keadaan ribuan pengikut berada di laman rumah tersebut,  A.M. Azahari sempat memberitahu mereka supaya tenang dan jangan menimbulkan sebarang kekacauan. Keadaan begitu terkawal.  

Wallahu a’alam (MMO).



*****



2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Yang di foto, siapa Azhari?
    Yang kanan atau kiri?
    Dan siapa satu orang tu lagi?

    ReplyDelete