Wednesday, April 18, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (BAHAGIAN 16)


Tanggungjawab Politik 

Penubuhan Parti Rakyat Brunei (BRB) adalah bagi memenuhi tuntutan politik zaman yang memberi peranan aktif kepada rakyat untuk bersama membangun negerinya, justeru mesti wujud sebuah wadah politik untuk mereka sebagai pelantar gerakan untuk membantu merialisasikan tanggung jawab politik.

Egenda paling utama PRB di awal penubuhannya ialah, parti itu mesti menyukong hasrat murni DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein untuk mewujudkan sebuah perlembagaan bertulis bagi negeri Brunei. PRB mesti tampil menjulungkan pandangan dari bawah, bersama merangka dan mengisi roh perlembagaan negeri demi menegakkan negeri Brunei yang berkerajaan sendiri, adil dan makmur, di bawah sistem pemerintahan Demokrasi  Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. 

PRB Terkilan 

Ketika PRB ditubuhkan dalam tahun 1956, wadah suara majoriti rakyat hanyalah PRB. Setahun selepas penubuhannya, parti itu sudah mempunyai ahli berdaftar melebihi 16,000 atau kira-kita 75% penduduk lelaki dewasa Brunei yang mempunyai penduduk sekitar 65,000 orang. Pada tahun 1962, ahli berdaftar PRB telah mencecah 20,000 berbanding penduduk Brunei ketika itu sekitar 80,000 orang.

Yang dikesalkan ialah mengapa PRB yang mewakili suara majoriti rakyat itu tidak diberikan ruang dan peluang untuk duduk bersama di dalam jawatankuasa perlembagaan tersebut sedangkan rakyat adalah “end-user”nya. Tidakkah perundingan dan muafakat itu suatu yang dianjurkan oleh syariat Islam? Jika sebuah perlembagaan ditakdirkan tidak difikirkan oleh baginda, sudah tentu ia menjadi tugas dan tuntutan penting PRB pula untuk  menyediakannya. 

Tidak Berdaya 

Baginda Sultan sudah pasti menyedari akan hakikat betapa perlembagaan yang dihasratkan itu bukan sekadar memaktubkan hak kesultanan baginda dan zuriat baginda semata, tetapi juga ialah untuk  kemaslahatan rakyat.

Baginda Sultan juga tahu bahawa dengan  meminggirkan rakyat yang rata-rata bersama PRB boleh mengundang krisis keyakinan terhadap kejujuran Baginda Sultan sendiri. Tidakkah ini yang dikehendaki penjajah yang berselindung di sebalik lalang sehelai?.  Tidakkah nasihat Residen British itu wajib dipatuhi?. Justeru itu, sebarang tindakan dan titah  Baginda Sultan pastinya mengikut skrip yang disediakan oleh Residen British.

Sedih, Baginda Sultan terang-terangan terperangkap dengan permainan adu dumba penajah. Namun apakan daya, sesungguhnya baginda tidak ada kekuatan untuk membebaskan diri dari kepungan penjajah yang ketat dan kejap itu. Kita teringat bagaimana pegawai Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British memperkecil rombongan Baginda Sultan dengan serta merta menghentikan rundingan perlembagaan  pada bulan September 1957, lalu menyuruh baginda balik sahaja ke Brunei, dan hanya akan menyambung rundingan pada tarikh baharu yang akan mereka tetapkan.

Begitu juga dengan kes Memorandum Cadangan Perlembagaan PRB, di mana Rombongan Merdeka PRB disuruh oleh Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan menghadapkan sahaja memorandum berkenaan langsung kepada Baginda Sultan, sedang disebalik itu, Baginda Sultan dinasihatkan supaya “tidak mencampuri dalam sebarang perkara yang berkait dengan  politik atau  parti politik”. 

Harapan PRB 

Dunia telah memberikan kuasa yang lebih kepada warganya yang merdeka di mana jua di pelusuk dunia ini. Begitulah juga, A.M. Azahari mahu rakyat Brunei dapat apa  yang warga dunia lain dapat. Selain rakyat diberi perlembagaan dan kemerdekaan, yang diidamkan oleh mereka, ialah nikmat demokrasi, iaitu harga diri sebagai bangsa merdeka yang turut menentukan nasib bangsa dan kedaulatan negaranya sendiri.

Oleh kerana perlembagaan itu sudah disuarakan oleh Baginda Sultan, maka adalah  menjadi tanggungjawab PRB pula untuk menyambut dan mengangkat harapan  rakyat supaya roh perlembagaan yang lahir nanti merupakan  satu dokumen penting yang sama menjamin hak raja dan hak rakyat ke atas pemerintahan negeri tercinta itu.

PRB tidak menunggu lama. (Hanya Sembilan bulan selepas PRB didaftarkan pada 15 0gos 1956). Parti ini segera mencadangkan garis besar perlembagaan yang diidamkannya bagi mengisi hasrat Baginda Sultan itu. Kita yakin cadangan perlembagaann parti ini bukanlah mutlak, rundingan dan tolak ansur melalui konsep syura -  muafakat dan kesepakatan tetap terbuka luas. Yang penting perlembagaan itu tidak memusatkan kuasa berlebihan  kepada sultan yang dilihat  ketinggalan zaman.

A.M. Azahari tidak pernah menyembunyikan harapannya bahawa perlembagaan yang dikehendakinya ialah sebuah perlembagaan yang demokrasi, di mana rakyat bebas  bersuara dan berkongsi kuasa dengan istana selagi mana ianya tidak menyalahi syariat.

Lebih jauh, PRB yang dipimpinnya bukan sekadar mahu mendaulatkan Baginda Sultan sebagai raja di negeri Brunei sahaja, malah bercita-cita untuk menobatkan baginda menjadi Sultan dan Yang Dipertuan seluruh Kalimantan Utara meliputi Sarawak dan Sabah, bergelar Seri Mahkota Negara  berstatus raja berperlembagaan seperti Queen di England. 

Pemusatan Kuasa Yang Dibimbangi PRB 

Sedari awal PRB berpandangan bahawa pemusatan kuasa ke tangan  Sultan seperti tidak cocok dengan konsep demokrasi. A.M. Azahari secara terbuka memperjuangkan agar kerajaan hendaklah diketuai oleh seorang Ketua  Menteri yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya bebas, bagi membolehkan rakyat turut serta di dalam pembuatan keputusan secara sah – “legitimate”.

Kalangan pemerhati politik berpandangan bahawa, cadangan PRB supaya 26 kerusi Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) dipilih melalui pilihan raya, dan 10 kerusi lagi dilantik oleh Baginda Sultan daripada 36 Kerusi Majlis Mesyuarat Negeri adalah suatu tuntutan yang munasabah.

Antara lain perkataan, status keahlian dalam MMN yang dicadangkan oleh PRB ialah,    75%  anggota MMN  dipilih sementara 25% lagi dilantik oleh Baginda Sultan termasuk dua orang dari Syarikat Minyak Shell Brunei, dan mengekalkan Residen British duduk di dalam Majlis Mesyuarat Negeri dan dilantik  sebagai Speaker MMN.  

Pada hakikatnya, tuntutan PRB keatas hak keahlian  majoriti  di dalam perwakilan rakyat terdiri daripada mereka yang dipilih, bertujuan bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa atau pengaruh oleh Sultan. Betapa tidaknya, perwakilan yang dilantik  dalam MMN pastinya terbelenggu oleh kepentingan untuk menjaga hati dan lain kepentingan yang melantiknya.

Amalan sistem pemerintahan absolute ini juga akan membentuk sikap sombong penguasa dan elit pentadbir bahawa  mereka tidak perlu akur kepada apa jua desakan rakyat kerana mereka mendakwa bukan dipilih oleh rakyat tetapi dilantik oleh sultan, malah tidak mengherankan jika  ada yang beraksi seperti “sultan nombor 2”.

Justeru itu kerakusan, kezaliman dan kemaharajalelaan boleh saja semudahnya dilakukan oleh para aktor nasional semata-mata kerana  ketiadaan kaedah akauntabiliti,  sekatan dan imbangan yang berkesan. Inilah natijah kejelikan sistem pemerintahan absolute. Inilah antara bahaya yang boleh mengundang kehancuran yang  dikhawatiri oleh PRB bakal menimpa negeri tercinta ini.

 Wallahua’alam. (MMO).


*****

1 comment:

  1. sangat betul kata2 am azahri,semoga allah merahmatinnya

    ReplyDelete