Thursday, January 25, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (Bahagian IV)


Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ketika menandatangani Perjanjian Perlembagaan Negeri Brunei pada tahun 1959 manakala Sir Robert Scott menandatangani 
bagi pihak Queen Elizabeth

 Pernaungan Itu Adalah Penjajahan
 

Kendatipun bendera Brunei kuning, putih, hitam, kuning boleh dikibarkan di mana-mana dalam kesultanan yang secebis itu, tetapi Sultan Brunei tidak pula berkuasa untuk mentadbirkan sendiri negerinya malah terpaksa bertindak atas nasihat British yang diketuai oleh seorang Residen.

Realitinya, kuasa Residen melangkaui kuasa Sultan meliputi bidang eksekutif dan kehakiman. Sebagai contoh, Residen Mc Arthur lah yang memutuskan siapa bakal pengganti Sultan Hashim setelah baginda mangkat. Residen jugalah yang mengeluarkan dikri melantik Pengiran Muda Muhammad Jamalul ‘Alam  menjadi Sultan Brunei ke-26 tanpa merundinginya dengan pembesar negeri.

Residen British bernama J.F. Owen pula pernah mengugut dan berkira-kira untuk menurunkan Sultan Muhammad Jamalul Alam  dari tahta semata-mata kerana baginda tidak bersetuju dengan undang-undang tanah yang baru diperkenalkan Kuasa Penjajah British ketika itu. Demi menjaga tahta, baginda akur dengan keputusan Residen British itu.

Begitu juga, sebelum Sultan Omar Ali Saifuddein III ditabalkan menjadi Sultan Dan Yang Dipertuan Negeri Brunei ke 28, pihak istana terlebih dahulu mesti mendapatkan perkenan kuasa penjajah British melalui Residen. Demikianlah, pada hakikatnya, Sultan tidak mempunyai sebarang kuasa kecuali yang berkaitan dengan Agama Islam,  itupun di bawah kekangan Residen.

Atas premis inilah ramai kalangan sejarawan berpendapat betapa liciknya penjajah British mengadu dumbakan Istana dan PRB yang kononnya segala keputusan yang dibuat kerajaan negeri adalah atas kehendak Sultan, walhal ia adalah datangnya dari nasihat Residen yang nasihatnya mesti dituruti. Itulah sebenarnya hakikat penjajahan yang berlindung di sebalik istilah pernaungan atau protected state. Itulah intipati dan semangat  perjanjian persahabatan 1888/1905/1906.

Era Pasca Pendudukan Jepun.

Apabila Majlis Negeri (State Council) dipulihkan semula dan pentadbiran British Military Administration (BMA) digantikan dengan kerajaan awam pada 6 Julai 1946, maka ketika itulah Residen British mengambil kesempatan memasukkan ramai pegawai berbangsa Cina dan menempatkan pegawai British untuk mengetuai jabatan  kerajaan.

Rata-rata orang Melayu yang bekerja dengan kerajaan dipinggirkan atas alasan tidak mempunyai kelayakan sehingga mengundang rasa tidak puas hati penduduk tempatan. Helah penjajah ini adalah suatu yang sememangnya dirancang justeru dengan sengaja melambatkan pembangunan pendidikan.

Penjajah British sebenarnya tidak mahu melihat rakyat tempatan maju di bidang pendidikan kerana bimbang rakyat yang berpendidikan itu akan menggugat kepentingan penjajahannya. Walaupun Brunei telah mengikat “perjanjian persahabatan” dengan British pada 1888 dan perjanjian pernaungan pada 1905/1906, namun sekolah Melayu kerajaan yang pertama hanya didirikan pada 1912, sekolah Inggeris pertama kerajaan pula dibina pada tahun 1954. Rumah sakit pertama kerajaan pula didirikan pada tahun 1929.

Demikianlah ironisnya betapa kita dibohongi oleh kebanyakan sajarawan dan cendikiawan  tempatan yang mengatakan Brunei tidak pernah dijajah!

Cerita Malang

Kemerdekaan bagi satu bangsa ibarat nyawa bagi sebuah jasad manusia. Apabila ruh ditiupkan ke jasad yang terbujur, maka jasad pun hidup. Jika bangsa Brunei dikira sebagai satu bangsa, yang menghidupkan Brunei yang raya dan memberi erti hidup kepadanya, ialah kemerdekaan.

Kedatangan Islam ke Brunei telah menyempurnakan kemerdekaannya sebagai sebuah kesultanan Melayu Islam yang berdaulat dan bermaruah yang meliputi wilayah seluas lebih sejuta batu persegi, diperintah oleh seorang Raja yang berdaulat bernama Sultan Muhammad pada kurun ke 13.

Sebahagaian Kesultanan itulah yang cuba ditegakkan semula oleh A.M. Azahari bin Sheikh Mahmud dan partinya PRB, malangnya ia ditentang oleh warga sendiri sehingga beliau tersungkur  bersama cita-cita besarnya itu.

Amat malang bagi bangsa Brunei yang dari segi sejarahnya mempunyai kedaulatan wilayah yang luas sebelum ketibaan penjajah British ke rantau Asia Tenggara, tetapi apabila British meninggalkan rantau ini, raja dan rakyat Brunei hanya ditinggalkan dengan sebuah wilayah yang terlalu kecil. Selebihnya diwariskan penjajah kepada orang lain.

Kalaupun Singapura juga dijual kepada British, tetapi zuriat raja Singapura hingga sekarang masih ada yang mendapat saraan dari kerajaan Singapura. Begitu juga keturunan Sultan Sulu, masih ada yang mendapat pengiktirafan dari pihak berkuasa Filipina dan menerima saraan tahunan, tetapi bagi Brunei, raja dan rakyatnya tidak mendapat apa-apa ganjaran berbentuk pencen atau sebagiannya atas kehilangan wilayah Sarawak dan Sabah untuk selama-lamanya. Tidakkah penjajah itu jahat ?

Tabek Buat Genarasi Dahulu

Wira bangsa menginsafi betapa lebih setengah abad Brunei yang kecil itu berada dalam gengaman penjajah, namun tiada apa kemajuan yang dicapai. Kehidupan rakyat rata-rata tetap dalam keadaan miskin dan dhaif. Justeru dalam keadaan apapun, Brunei mesti dimerdekakan terlebih dahulu dan tiada masa untuk menunggu lebih lama lagi.

Pandangan umum  di era PRB rata-rata menuntut, biarpun susah asalkan kita diperintah oleh bangsa sendiri, biarlah orang Brunei sendiri yang menentukan nasib masa depan bangsa dan negaranya.

Brunei merdeka boleh saja menjalin kerjasama dua hala atau berbagai hala dengan  negara di dunia ini justeru ia tidak terikat lagi dengan Kuasa Penjajah. Brunei mesti  membebaskan diri dari kebergantungan total kepada penjajah British pada kadar segeranya.

Warga Brunei ketika itu sudah punya jatidiri dan keyakinan amat tinggi, bahawa mereka bukan sahaja mahukan merdeka tetapi mereka boleh memerintah negara Brunei Merdeka. Alasan Brunei belum bersedia untuk merdeka tidak ada dalam kamus perjuangan mereka. Istilah itu adalah ciptaan penjajah semata-mata bertujuan untuk menakut dan melambatkan proses kemerdekaan Brunei.

Begitulah kuatnya azam dan semangat genarasi terdahulu untuk membebaskan tanah airnya dari belenggu penjajahan, justeru tergamakkah kita untuk memperlekeh perjuangan kemerdekaan mereka sedang nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan generasi terdahulu. 


Wallaha'alam. (MMO).
*******



No comments:

Post a Comment