Wednesday, March 21, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (BAHAGIAN 12)


Persiapan Awal Penubuhan PRB 

Dalam tempoh antara peristiwa demonstrasi BRUFICO 23 Januari 1953 dan pendaftaran Parti Rakyat Brunei (PRB) pada 15 Ogos 1956,  A.M. Azahari dan rakannya telah membuat persiapan perlu ke arah menubuhkan sebuah organisasi politik khususnya dengan menggembeling kumpulan sokongan melalui persatuan sosial dan perniagaan.

Mereka telah menubuhkan  Kesatuan Buruh, Persatuan Nelayan dan Tani, Koperasi Rakyat, dan Persatuan Kenderaan Melayu.  Badan ini kebanyakannya dipimpin oleh bekas aktivis BARIP seperti HM Salleh, Yasin Affandy, HB Hidup, Othman Sungguh dan Abdullah Jaafar. Mereka inilah yang kemudiannya menjadi antara tenaga penting dalam PRB.

A.M. Azahari sendiri menubuhkan syarikat S.M. & Sons, Azahari Press (di Singapura) dan Light Press, suatu bidang yang beliau mempunyai bakat besar. Rakan-rakan terdekatnya turut membantu beliau. Tujuan utama syarikat ini ialah untuk menggumpul dana bagi memulakan pergerakan politik yang lebih terbuka. 

Tema Politik 

Semangat untuk berparti semakin menggelegak di kalangan lingkungan A.M. Azahari. Di setiap pertemuan di kalangan  mereka, A.M. Azahari menekankan tema perbincangan betapa keadaan hidup rakyat di bawah penjajahan begitu daif dan mundur dalam serba serbi.

Kekayaan hasil bumi Brunei, Sarawak dan Sabah telah dirampok dan dijarah  penjajah. Brunei mesti memperolehi kemerdekaannya pada kadar segera. Sarawak dan Sabah mesti bersatu dengan Brunei sebagai sebuah entiti negara baru yang kuat,  bebas dan merdeka.

Justeru itu parti baru yang bakal ditubuhkan perlu menekankan program politik dan ekonomi yang lebih kukuh dan lebih baik dari sebarang program penjajah. Gagasan ini penting untuk membangkit rasa nasionalisme dan jatidiri masing-masing supaya bersama memberi sokongan.

Dalam masa yang sama kempen senyap untuk merikrut ahli menyertai pergerakan politik melalui wadah PRB terus merayap keseluruh pekan dan desa, malah telah melangkaui perbatasan negeri di Sarawak dan Sabah.

Senario ini membuatkan pangkalan Syarikat Shell di Seria dan balai polis di Kuala Belait dan Seria tidak selesa kerana masing-masing terasa bayang A.M. Azahari sudah menyerap ke daerah minyak itu walaupun A.M. Azahari lebih kerap ke Singapura dan ke Tanah Melayu. 

Politik PRB Condong Ke Tanah Melayu 

Dalam ulang aliknya ke Singapura dan Tanah Melayu itu, A.M. Azahari berkawan dengan dua orang tokoh UMNO Singapura, iaitu Sardon Jubir yang kemudiannya menjadi menteri selepas Tanah Melayu merdeka. Selepas bersara dari politik beliau menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Seorang lagi ialah Abdul Hamid Jumat. Beliau kemudian menjadi menteri Singapura di bawah David Marshall dan Duta Malaysia ke Mesir, Belanda dan  Jerman.

A.M. Azahari juga mengukuhkan jaringan  dengan Dr. Burhanuddin Al-Helmi (Yang Dipertua Parti Islam Se Malaya – PAS), Ahmad Boestamam,  Pak Sako dan Cikgu Harun Aminurashid yang kemudiannya membentuk Partai Rakyat Malaya (PRM). Perkenalannya dengan tokoh-tokoh politik pelbagai latar belakang ini turut menyumbang kematangannya berpolitik.

Dalam bulan Disember 1955 A.M. Azahari hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO dan mendengar pandangan Tunku Abdul Rahman. Dalam ucapannya Tunku melontarkan idea agar Malaya digabungkan dengan Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah).  A.M.  Azahari tertarik dengan idea itu namun ia tidak pernah menjadi perbicangan yang serius dalam UMNO.

Yang mengecewakan A.M. Azahari ialah apabila Tunku Adul Rahman langsung tidak mahu melayani permintaan beliau untuk mendapatkan sokongan politik dari UMNO. Malah Tunku secara sinis memandang serong terhadap beliau kerana latar belakangnya yang rapat dengan Indonesia. Walau bagaimanapun,  masyarakat Brunei pada umumnya  lebih  tertarik dengan politik nasionalisme yang luas yang menjadi gagasan  Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin Al Helmi.

A.M. Azahari adalah antara mereka yang awal datang menemui Ahmad Boestamam selepas dibebaskan dari tahanan politik selama tujuh tahun itu. A.M. Azahari juga adalah antara pemimpin yang hadir di rumah Ahmad Boestamam di Jalan Daud, Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk membincangkan penubuhan Parti Rakyat Malaya (PRM) bersama Dr. Burhanuddin Al Helmi, Pak Sako dan Cikgu Harun Aminurashid. PRM dilancarkan oleh Ketua Umumnya Ahmad Boestamam pada 11 November 1955. 

Konferensi Asia Afrika Yang Pertama 

Dalam pada itu, bahang Konferensi Asia Afrika yang pertama diadakan di Bandung Indonesia pada bulan April 1955, telah sampai ke Brunei. Tiupan semangat Konferensi yang dianggotai 29 negara mewakili 54% penduduk dunia ketika itu turut menyuntik semangat rakyat Brunei untuk bersama rakyat Afro Asia yang bebas dan merdeka, yang disebut Presiden Sukarno The new Emerging force. 

Presiden Sukarnao telah berusaha keras menggembeling kumpulan negara berkecuali untuk memperjuangkan keamanan dan kerjasama negara dunia berdasarkan prinsip yang disepakati. Pergerakan Non Aligned Movement (NAM) hari ini adalah legasi politik antarabangsa yang disumbangkan oleh  Presiden Sukarno.

Kemurnian cita-cita Presiden Sukarno itu dizahirkannya dalam ucapan pembukaan Sidang Puncak Afro Asia pada pagi 18 April 1955 di kota Bandung itu, antara lain beliau berkata “We, members of the  conference, were from different nations, different historical social and cultural background, different religion, different politics, and even different colour of skin though it was so, we could be united by bitter experience of colonization and by the same wish and fight in promoting world peace” 

Terkesan Oleh  Deklarasi Bandung 

Semangat dari deklarasi Konferensi Asia-Afrika Bandung yang menegaskan betapa “Kolonialisme dalam segala manifestasinya adalah suatu kejahatan yang harus segera diakhiri” benar-benar menusuk di benak minda dan roh para aktivis dan  tokoh masyarakat Brunei  yang sedang bersiap untuk menubuhkan sebuah parti politik.

Rakyat rata-rata merasakan seolah-olah sudah sedia menunggu suatu kekuatan luar yang bersetia dengan rakyat yang terjajah, yang boleh dijadikan tempat bersandar dalam menggerakkan perjuangan kemerdekaan melalui jalur  Badan Dunia yang lebih tersusun dan rapi.

Betapa tidaknya, Deklarasi Bandung (perisytiharan yang dibuat diakhir sidang) telah dengan jelas memberikan sokongan yang kuat terhadap perjuangan kebebasan dan kemerdekaan rakyat yang terjajah di mana jua di sudut dunia ini.

Salah satu bahagian di bawah fasal C Deklarasi Bandung - HAK-HAK MANUSIA DAN HAK MENENTUKAN NASIB SENDIRI menyatakan secara jelas:

"Konferensi Asia-Afrika mengiystiharkan sokongan sepenuhnya akan prinsip hak asasi manusia seperti yang tercantum dalam piagam PBB dan mengambil perhatian tentang deklarasi hak asasi manusia sejagat (universal declaration of human rights) sebagai dasar umum yang mesti dinikmati oleh seluruh rakyat dan negara dunia. Konferensi ini juga mengiystiharkan sokongan sepenuhnya ke atas prinsip menentukan nasib sendiri seperti termaktub dalam piagam PBB dan mengambil perhatian akan resolusi PBB mengenai hak semua rakyat dan bangsa dunia untuk menentukan nasib sendiri yang merupakan syarat utama untuk mereka  menikmati apa jua hak asasi manusia seluruhnya".

Lebih jauh, Konferensi Asia Afrika tersebut telah menjangkau permasalahan bangsa yang belum merdeka. Antara lain telah disetujui:
  • Menyatakan bahawa kolonialisma dalam bentuknya yang bagaimanapun juga  adalah suatu kejahatan yang harus segera diakhiri. 
  • Menegaskan bahawa dijajahnya serta diperasnya bangsa-bangsa oleh kekuasaan asing merupakan pelanggaran hak-hak dasar manusia, bertentangan dengan piagam PBB dan merupakan penghalang bagi tercapainya perdamaian dan kerjasama sedunia. 
  • Menyatakan sokongannya pada perjuangan untuk memperoleh kebebasan dan kemerdekaan bagi semua bangsa dijajah. 
  • Menyeru kepada negara-negara yang bersangkutan supaya memberi kebebasan dan kemerdekaan kepada bangsa-bangsa yang dijajah. 

Ketika mesyuarat penubuhan PRB  diadakan (pada 22 Januari 1956), iaitu kira-kira 10 bulan selepas Konferensi Asia Afrika di Bandung berlangsung (pada 18 April 1955) penggiat politik Brunei masih hangat membicarakan kejayaan Konferensi Asia Afrika itu. 

Wallahua’alam (MMO). 


*******

No comments:

Post a Comment