Saturday, April 14, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (BAHAGIAN 15)


Egenda Perlembagaan 

Isyarat politik dan ekonomi yang dibawa gelombang Demonstrasi Brufico pada 23hb Januari 1953 itu dipercayai telah mengejutkan banyak pihak. DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein sendiri pastinya terkesan daripada peristiwa tersebut, justeru harapan rakyat Brunei mesti diraikan.

Baginda Sultan mesti memulai langkahnya menuju penentuan nasib masa depan nusa bangsanya. Penjajah British mesti didesak supaya memberikan taraf  berkerajaan sendiri dan kemerdekaan kepada negeri Brunei pada kadar segeranya. Itulah harapan dan tuntutan semasa rakyat.

Baginda Sultan menyedarinya. Ke arah kesadaran yang tinggi itu, Baginda Sultan telah mengurniakan titah pengumuman pada 12 Mei 1953, lebih kurang tiga setengah bulan selepas Demonstrasi Brufico, akan hasrat baginda untuk mewujudkan perlembagaan bertulis bagi negeri Brunei.

Hasrat baginda ini adalah satu langkah ke hadapan yang disambut gembira oleh seluruh rakyat. Betapa tidaknya, di abad celik huruf, Brunei mesti berupaya menyediakan satu perlembagaan yang sempurna bagi menjamin kedaulatan rakyat dan negara yang berundang-undang.

Justeru, hasrat Baginda Sultan itu dikira sebagai satu anugeraha berharga kepada rakyat. Dengan perlembagaan yang dapat dibaca, rakyat tahu akan hak dan tanggungjawab masing-masing. Rakyat menaruh harapan tinggi, betapa melalui perlembagaan itu kelak, Sultan dan rakyat akan saling menghormati hak masing-masing ke atas pemerintahan negeri sendiri, sebagai khalifah Allah di buminya. 

Kerangka Perlembagaan 

Urutan dari titah pengumuman baginda itu, sebuah Jawatankuasa Penasihat Perlembagaan tujuh orang telah ditubuhkan, dipengerusikan oleh Pengiran Maharaja Laila Pengiran Muda Kahar, dan dianggotai oleh Pengiran Haji Mohamad Salleh (Kadhi Besar Brunei), Pehin Orang Kaya Digadong Haji Mohamad Yusof, Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Ahmad (ayahanda Zaini Haji Ahmad), Pengiran Mohamad Yusof bin Pengiran Abdul Rahim, Pengiran Ali bin Pengiran Mohamad Daud dan Encik Abu Bakar bin Jambul.

Pada 23hb Mac 1954, jawatankuasa ini telah menyelesaikan tugasnya lalu menghadapkan laporan mengandungi cadangan awal bentuk perlembagaan yang sejajar dengan hasrat Baginda Sultan kepada Pesuruh Jaya Tinggi British bagi Brunei Sir Anthony Abell untuk disemak.

Tiga perkara penting yang dikemukakan di dalam kerangka awal perlembagaan tersebut, iaitu cadangan supaya dikaji kandungan perjanjian Brunei-Britain 1888, 1905/1906 dan menggantikannya dengan sebuah perjanjian baharu.

Kedua ialah cadangan diwujudkan Majlis Mesyuarat Daerah, Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Bandaran di mana keahliannya akan dipilih melalui pungutan suara. Cadangan tersebut sekaligus menghapuskan status dan kuasa Residen, dan menggantikannya dengan seorang Menteri Besar.

Ketiga ialah cadangan untuk memisahkan pentadbiran Brunei daripada pentadbiran Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) yang ketika itu berpusat di Kucing, Sarawak. Antara lain perkataan, pentadbiran Brunei hendaklah ditadbir di Brunei sendiri bukannya dari Sarawak.

Berikutan perkembangan itu, pada November 1954, Anthony Abell, yang berpejabat di Kuching, Sarawak menghantar R.H. Hickling seorang pakar undang-undang British yang bertugas di Sarawak untuk meneliti laporan disediakan Jawatankuasa Penasihat Perlembagaan itu. Kemudiannya kerangka perlembagaan yang disemak oleh R.H. Hickling itu ditunduki pula oleh seorang pakar perlembagaan dari London dikenali sebagai Mr Yong QC. 

Usaha Yang Tidak Disenangi 

Usaha Baginda Sultan untuk mengungkayahkan sebuah perlembagaan bertulis berdasarkan laporan Jawatankuasa Penasihat Perlembagaan itu sebenarnya tidak disenangi oleh pihak penjajah, kerana ia bermakna penyerahaan sebahagian kuasa Residen kepada Baginda Sultan.

Justeru itulah, berbagai karenah telah dilakukan oleh pihak penjajah untuk menggagalkan usaha ini. Hanya pada akhir 1956 iaitu hampir tiga tahun selepas laporan Jawatankuasa Penasihat Perlembagaan mengadapkan laporannya, baharulah deraf cadangan perlembagaan itu diambil perhatian serius oleh Pesuruh Jaya Tinggi British, Anthony Abell.

Anthony Abell tergesa-gesa membawa draft perlembagaan itu ke sidang Majlis Mesyuarat Kerajaan dipercayai, terkesan dengan usaha aggresif PRB untuk mengemukakan sebuah Memorandum Cadangan Perlembagaan parti itu kepada Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British di London.

Pada bulan Mei, PRB telah mendatangkan seorang pakar perlembagaan dari England Walter Reaburn QC untuk membantu merangka cadangan memorandum yang dimaksudkan.

Kelewatan pihak penjajah British memberikan respond terhadap kerangka perlembagaan yang disediakan oleh Jawatankuasa Penasihat Perlembagaan ini juga berakibat daripada keengganan Anthony Abell membawa kerangka perlembagaan yang telah siap itu ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan, sedang beliau adalah ahlinya.

Deraf perlembagaan itu perlu dibincang dan diambil ketetapan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan sebelum dihadapkan kepada Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan di London. Deraf perlembagaan itu kemudiannya diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan. 

Rombongan Merdeka Diraja Dibuli 

Berikutan perkembagan baharu ini, Sultan Omar Ali Saifuddein telah melantik jawatan kuasa baharu menggantikan jawatankuasa penasihat “Tujuh Serangkai” untuk membawa draf perlembagaan tersebut bagi dibincangkan dengan pegawai tinggi Pejabat Tanah-Tanah Jajahan di London.

Ahli jawatankuasa perlembagaan baharu ini terdiri daripada Duli Pengiran Pemanca Paduka Haji Mohamad Alam, Pehin Datu Perdana Menteri Haji Ibrahim, Pengiran Ali bin Pengiran Mohamad Daud, Pengiran Abu Bakar, Dato Marsal bin Maun, Pehin Orang Kaya Laksamana Haji Mohamad Taha dan Pengiran Mohamad Yusof bin Pengiran Haji Abdul Rahim. Dato’ Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz dari Perak dan Nigel Lawson Q.C. dari London adalah sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan.

Akhirnya rombongan Diraja berangkat ke London pada 5hb September 1957. Perundingan rasmi pertama kalinya antara rombongan Jawatankuasa Perlembagaan Brunei di ketuai oleh Baginda Sultan sendiri dengan Pejabat Tanah-Tanah Jajahan di London bermula pada 11hb September 1957.

Yang terkilannya ialah, ketika berlangsungnya siri perbincangan Baginda Sultan dengan pegawai Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British, dilihat seperti mempermainkan rombongan Baginda Sultan apabila dengan senghaja, serta merta menghentikan perundingan yang sedang berlangsung dengan alasan remeh iaitu mereka mahu berehat pada musim panas dan mengarahkan rombongan Diraja  ini balik sahaja ke Brunei.

Pada mulanya Baginda Sultan cuba berkeras, namun rombongan ini tiada pilihan. Mereka terpaksa juga menunggu musim panas berlalu sebelum meneruskan rundingan dengan wakil kerajaan British. Rombongan Perlembagaan Baginda Sultan hanya dapat berangkat semula ke London pada 14 Mac 1959 dan rundingan berlangsung selama 14 hari iaitu daripada 23 Mac hingga 6 April 1959.

Aksi yang dipamirkan pihak penjajah terhadap rombongan Baginda Sultan ini sebenarnya lebih buruk dari yang mereka timpakan keatas rombongan Merdeka PRB, walhal pada bulan September tahun 1957 itu, kedua rombongan berada di London pada waktu yang sama, malah perundingan rombongan perlembagaan Diraja  dengan pegawai Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British bermula dua minggu lebih awal dari perundingannya dengan Rombongan Merdeka PRB. 

PRB dan Isu Perlembagaan 

Sebelumnya, PRB yang baharu ditubuhkan tujuh bulan itu telah mengadakan Kongresnya yang pertama pada 22hb-24hb Mac 1957. Sidang pembukaannya telah diadakan di Panggung Bolkiah sementara sidang perwakilannya diadakan dua hari di Kampung Kilanas dekat Pekan Brunei.

Diakhir sidang ini diputuskan supaya PRB menghantar Memorandum Cadangan Perlembagaan disusuli dengan rombongan ke London unuk berunding dengan Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan British di London.

Urutan arahan Kongres itu, pada bulan Mei 1957 PRB mengumumkan usahanya untuk mendatangkan Walter A.L Raeburn QC dari London untuk menjadi Penasihat Perlembagaan PRB.

Namun sebagai tanda hormat dan tidak mahu membelakangkan Baginda Sultan dalam perkara besar yang hendak diungkayahkan oleh parti itu, maka pada 6hb Mei 1957 Setiausaha Agung PRB, Yasin Affandy telah mengutus warkah mohon untuk mengadap Baginda Sultan bagi menyembahkan secara langsung keputusan Kongres Pertama PRB. Baginda Sultan mesti dimaklumkan akan usaha untuk menyediakan cadangan perlembagaan yang bakal diungkayahkan oleh parti itu sebelum sebarang langkah susulan diambil.

Malangnya Baginda Sultan tidak bersedia untuk menerima mengadap Rombongan PRB tersebut. Pada 14hb Mei 1957, Setiausaha Agung PRB telah menerima surat dari Istana Darul Hana yang ditanda tangani oleh Ibrahim Jaafar, Setiauausaha Sulit Sultan. Antara lain surat tersebut menyebutkan:

“……Pada menjawab warkah tuan No 3/DHMS.B/57 bertarikh 6th May, 1957, inilah saya dengan hormat-nya menyampaikan titah ia-itu Sri Paduka Yang Maha Mulia Maulana Al-Sultan dukachita tidak upaya menunaikan maksud Partai Ra’ayat Brunei menghantar wakil-wakil akan menghadap Baginda merundingkan Keputusan Congress Party Ra’akyat itu.

2. Di sini diulangi lagi mengingatkan kepada tuan dan Party Ra’ayat bahawa sebagaimana telah di-istiharkan dahulu serta tuan dan Party Ra’ayat pun telah di maklumkan dalam bulan Januari, 1957 yang lalu, bahawa Duli Yang Maha Mulia sebagai Raja Brunei Yang Berdaulat tidak ingin menchampuri dalam sebarang gerakan atau perkara yang bersangkut atau berkait dengan Politic atau political Party.

3. Bagi pengetahuan tuan dan Party Ra’ayat bahawa Duli Yang Maha Mulia masa ini sedang menyusun satu Perlembagaan Negeri yang baharu dan apabila siap serta telah diperundingkan dengan pihak yang berkuasa akan dibentang dalam Majlis Meshuarat Kerajaan dan dalam Majlis Daerah dan disitu-lah tempat-nya nanti ahli-ahli daripada Majlis-Majlis yang tersebut boleh menentang, membahas atau mengulas Perlembagaan Negeri itu”.

Demikian kandungan bingkisan dari Istana. Keputusan baginda ini dipercayai oleh kalangan pemimpin PRB adalah atas nasihat dan tekanan dari pihak Residen British jua. Justeru itu pintu rundingan dengan Istana khususnya mengenai isu perlembagaan ini seolah-olah tertutup rapat. Betapa tidaknya, di manakah logiknya PRB dapat mengambil bahagian di dalam perbincangan mengenai isu ini sedangkan PRB tidak berada di dalam institusi disebutkan? 

Reaksi Residen British 

Terperangkap dengan usaha PRB yang telah menyiapkan Memorandum Cadangan Perlembagaannya untuk diserahkan kepada Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan British di London, telah memaksa J.O. Gilbert, Residen British di Brunei, secara tergesa-gesa  mengumumkankan rangka perlembagaan kerajaan pada 25hb Julai 1957, dituruti dengan pembentangannya di sidang Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Di pihak PRB pula, oleh kerana sedari awal lagi Baginda Sultan telah menyatakan “tidak ingin menchampuri dalam sebarang gerakan atau perkara yang bersangkut atau berkait dengan Politic atau political Party”, menyebabkan PRB tidak ada pilihan melainkan menyerahkan Memorandum Cadangan Perlembagaan parti itu terus kepada Anthony Abell, Pesuruhjaya Tinggi British  bagi  Brunei, di pejabat beliau di Kuching Sarawak pada 18 Julai 1957, untuk disampaikan kepada Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan di London.  Dokumen tersebut telah diserahkan oleh Yasin Affandy Setiausaha Agung PRB dan Zaini Haji Ahmad ahli Dewan Partai.

Ekoran memorandum yang dihantar oleh PRB itu, pejabat Tanah-Tanah Jajahan British akhirnya bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan rombongan PRB walaupun pada mulanya hasrat PRB itu dipersulit oleh pegawai pejabat Tanah-Tanah Jajahan British itu.

Pada 26hb September 1957 berlangsunglah perundingan perlembagaan antara rombongan PRB terdiri daripada A.M. Azahari, Yasin Affandy dan Zaini Haji Ahmad dengan pegawai tinggi Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British di London, dituruti perundingan kedua dengan Allan Lenox Boyed, Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan British pada 30 September 1957, iaitu selang dua minggu rundingan pusingan pertama Baginda Sultan dengan pegawai Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British berlangsung.

Di kesempatan rombongan Baginda Sultan masih berada di London itu, A.M. Azahari tidak melepaskan peluang untuk junjung ziarah, sebagai tanda hormat kepada Baginda Sultan. Permohonan junjung ziarah diperkenankan baginda dan disambut mesera oleh Baginda Sultan pada 1 Oktober 1957. Maka berlangsunglah satu lagi peristiwa bersejarah, pertemuan antara kedua putera negara  yang sama-sama membawa misi kemerdekaan dan kebebasan bagi nusa bangsanya. 

Cabaran 

Urusan perlembagaan ini tidak semudah menitahkan dan membayangkan keberhasilan idealismenya. Baginda terpaksa berhadapan dengan kuasa yang ada di samping baginda, iaitu Pejabat Tanah-Tanah  Jajahan British yang menjadi Kuasa Penjajah di Brunei dan kuasa rakyat yang rata-rata bersama PRB.

Disamping itu, sudah tentu Baginda Sultan mempunyai hasrat dan cita sendiri sesuai dengan kedudukan dan kemahuan baginda. Selain mahu menjamin hak dan kedaulatan rakyat, sudah tentu baginda mahu memastikan kedudukan takhta yang berterusan untuk bangsa Brunei dipegang oleh zuriat baginda.

Penjajah British ada kepentingannya sendiri. Selain mahu meninggalkan satu khazanah berharga untuk ristaan rakyat di tanah jajahan yang akan ditinggalkan, sudah tentu ia juga mahu memastikan kepentingannya di timur terus terpelihara dan Brunei akan menjadi rakan setia dalam semua keadaan.

Dalam perkiraan British, memaktubkan kuasa mutlak sultan di dalam perlembagaan adalah jaminan terbaik bagi menjaga kepentingan ekonomi, politik dan sistem pertahanannya di Brunei dan rantau ini. Bagi British apa yang Baginda Sultan dan rakyat Brunei boleh perolehi dari perlembagaan itu adalah perkara kedua. Yang utama ialah kepentingan British dan barat terpelihara.

Di satu pihak yang lain, rakyat mempunyai cita-cita dan idealisme kemerdekaan tersendiri yang indah bagi memancarkan kedaulatan bangsa dan negara di bawah sistem pemerintahan raja berperlembagaan. Rakyat Brunei yang sudah melihat bangsa yang merdeka dari penjajahan barat di seluruh dunia menaruh harapan, biarlah perlembagaan itu akan memberi yang terbaik dan tidak kurang dari apa yang bangsa lain telah perolehi. 

Wallahua’alam (MMO).


*****



3 comments: